Wednesday 8 January 2014

Praktikal di Dewan Ibu Bersalin

Hmm, hari ni mau tulis pasal pengalaman clinical posting di Hospital Kemaman masa pertengahan bulan November hari tu, nda silap start 24 November hari tu kami posting di dalam labor room, tempat ibu-ibu bersalin or melahirkan anak. Alhamdulillah banyak benda baru dapat belajar di sana, especially yang berkaitan delivery of baby, macam mana mau monitor ibu-ibu yang mau bersalin ni, macam mana mau bersihkan baby yang baru lahir and bagi injection ubat dekat baby. :)

........................................

Ok, kita masuk satu-persatu. firstly, time masa mula-mula masuk labor room tu, perasaan time tu rasa macam takut-takut jugak sebab yalah, first time praktikal dalam labor room. rasa macam knowledge nda banyak and nda prepare sangat untuk posting dalam tu. so memang rasa takut, berdebar, semua ada. tapi Alhamdulillah, bila masuk labor room tu, semua staff nurses and jururawat masyarakat (yang line tudung color purple tu) dekat situ semua mengalu-alukan kedatangan kami sebagai students yang berpraktikal di situ. and lagi best, ada seorang staff nurse tu (nda ingat nama kakak tu apa) baik sangat and betul-betul bermurah hati sangat sanggup ajar kami macam-macam dalam ward tu. sampai saya rasa memang banyak benda baru yang saya baru belajar and baru tau, sebab masa time dalam lecture, rasa macam tiada pulak diajar and diberitahu oleh Madam Sumathi (guest lecturer untuk subjek Obstetric Nursing). so kami memang betul-betul menghargai la jasa staff nurse tu sebab sanggup layan karenah kami, sebab ada sesetengah daripada kami suka tanya macam-macam, then dia pun sanggup melayan and menjawab semua soalan kami and tambahan lagi, sanggup mengajar kami macam-macam benda padahal kami nda tanya pun. so a lot of thanks to the staff nurse ^_^ 

and, paling penting dalam wad tu, kami dapat experiences untuk tengok sendiri dengan kepala mata kami sendiri delivery of baby. bagi saya sendiri, itulah kali pertama saya witness seorang ibu yang melahirkan anak and bila saya tengok sendiri kesusahan, kepayahan and kesakitan yang dialami oleh ibu tu memang betul-betul buat saya sedar, bukan mudah untuk menjadi seorang isteri dan ibu. mungkin orang lelaki takkan dapat faham macam mana rasa sakitnya isteri diorang untuk melahirkan anak diorang tapi saya, walaupun saya belum berkahwin lagi, tapi saya seolah-olah dapat merasakan kesakitan tu. sebab sepanjang saya berpraktikal dalam labor room tu, setiap kali saya menyaksikan sendiri seorang ibu tu untuk melahirkan anak, saya rasa seolah-olah macam saya pulak yang sedang kesakitan sebab saya pun meng'aduh' kesakitan sekali setiap kali ibu tu menahan kesakitan time baby dia mau keluar. kadangkala sampai ada satu masa saya rasa macam nda sanggup tengok ibu tu bersalin sebab saya rasa sakit sangat, lebih-lebih lagi bila saya nampak bahagian vaginal muscle ibu yang bersalin tu digunting sikit sebab baby dia susah untuk keluar. selalunya vagina yang digunting tu ibu-ibu yang baru first time mengandung la sebab muscle diorang nda cukup dilate and mungkin jugak sebab vaginal dilatation diorang nda cukup besar and baby nda dapat keluar. procedure gunting tu dipanggil sebagai episiotomy. haa, bila time episiotomy tu la saya paling nda sanggup tengok sebab of course, memang sangat sakit. sebab yang digunting tu muscle, sedangkan cuba kita fikir, even kalau jari kita terhiris pisau pun kita sudah rasa sakit, ni kan apatah lagi muscle, lapisan badan kita yang tebal tu digunting, confirm-confirm la memang sangat sakit. tambahan lagi, lepas digunting, terus banyak darah yang mengalir keluar. huhu, sakit sangat. sebab tu la para suami di luar sana kena sedar betapa besarnya pengorbanan isteri-isteri diorang untuk melahirkan zuriat diorang. bukan untuk setakat suami-suami ja ya, untuk yang akan bakal jadi suami pun kena sedar jugak. hargailah pengorbanan besar isteri-isteri kamu semua. ^_^

ok, berbalik kepada pengalaman time posting, banyak yang kami dapat belajar. contoh, kami dapat belajar apa ubat-ubat yang digunakan dalam labor room tu untuk ibu-ibu yang bersalin. contohnya, IV Pitocin. ubat ni cuma nama lain untuk Oxytocin. tujuan untuk bagi ubat ni dekat mother tu ialah untuk increase uterine contraction dia supaya labor process boleh diteruskan dalam masa yang cepat. means process of delivery pun nda ambil masa yang lama sangat. then, kami jugak dapat peluang untuk bantu staff nurses, JM and doctors untuk conduct delivery. contoh kami tolong untuk prepare delivery set and instrument lain untuk delivery. lepas tu, kami jugak dapat peluang untuk bagi IM Syntometrine dekat mother yang sudah lahirkan baby. tujuan untuk bagi ubat tu ialah untuk membantu proses delivery of placenta pulak. then, kami jugak dapat peluang untuk buat suctioning dekat respiratory tract baby tu and jugak taking cord blood sample. taking cord blood sample ni dibuat lepas sebaik sahaja baby tu sudah delivered and tujuan darah tu diambil adalah sebab untuk check G6PD hormones deficiency, Rhesus factor and nda silap blood group sekali. then, procedures lain yang kami buat jugak ialah check completeness of placenta and yang paling best sekali ialah procedure untuk bersihkan baby yang baru lahir tu. ^_^ sebab baby tu kan baru lahir jadi mestilah seluruh badan dia masih melekit-lekit dengan mucus, darah and fluid macam-macam. so baby tu mestilah dibersihkan. yang ni part yang memang semua students paling expert untuk buat sebab time kami posting di situ, staff nurses memang serahkan dekat students yang buat. tapi staff nurses atau JM tengok la kami buat untuk pastikan apa yang kami buat tu betul atau tidak. and last sekali, kami jugak berpeluang untuk bagi injection ubat dekat baby iaitu Hepatitis B and Vitamin K injection. dua-dua ubat ni mesti bagi dekat muscle baby tu atau IM. mula-mula tu memang takut-takut mau bagi sebab baby kan, sudah la baby-baby kebanyakan memang menangis lepas lahir tapi staff nurse and JM dekat situ bersedia untuk ajar kami so kami pun dapat belajar and buat. Alhamdulillah. ^_^

Itulah antara pengalaman berpraktikal di dalam labor room yang dapat saya kongsi. sebenarnya ada banyak pengalaman lagi tapi cukuplah dulu buat masa ni. penat sudah tangan mau menulis hehe. nanti saya sambung lagi dalam lain lembaran. ^_^



      

Wednesday 1 January 2014

Zina Hati


Sambungan..
Namun apa yang popular dalam mengharamkan percintaan sebelum nikah adalah terma ‘Zina Hati’ sebagaimana yang saya ulang-ulangkan pada subtopik yang sebelum ini. Terma ini diambil daripada hadith Rasulullah SAW:

            “Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Mata itu zinanya pandangan, telinga itu zinanya mendengar, lidah itu zinanya ucapan, tangan itu zina melakukan kekerasan, kaki itu zinanya langkah, dan hati itu mengharap dan berkeinginan, dan mengiyakannya kemaluan atau mendustakannya.” Hadith Riwayat Muslim.

            Jadi, diangkat perihal ‘Zina Hati’. Zina hati ini biasanya ditafsirkan dengan perasaan dan gejolak bayangan di dalam hati, akan perkara-perkara yang busuk dan salah di sisi Islam. Contohnya, kita terlalu membayangkan orang yang kita cintai, terganggu ibadah kita kerana asyik mengingati Si Dia, terganggu pula urusan kehidupan kita dan sebagainya. Dan semestinya termasuk di dalamnya sekiranya kita membayangkan membuat perkara-perkara yang buruk dengan orang yang kita cintai itu.

            Namun terma Zina Hati ini akhirnya digunakan ke peringkat yang amat ekstrim.

            Hingga jatuh cinta adalah Zina Hati. Hingga teringat adalah Zina Hati. Hingga mempunyai perasaan cinta adalah Zina Hati. Seakan-akan, apa-apa sahaja lintasan perasaan, atau rasa cinta yang wujud sebelum perkahwinan adalah merupakan satu zina dan dosa. Daripada titik tolak ini, maka ibarat taufan yang menerjah, golongan ini mengharamkan itu dan ini, sekaligus menyempitkan makna cinta yang sebenar. Alasannya, hendak menutup lubang yang lebih besar.

            Pada saya ini adalah satu kesilapan yang tersangat fatal. Islam kelihatan sempit apabila dibawa sedemikian rupa.

            Telah saya jelaskan dalam isu Islam mengiktiraf cinta. Maka tadi jelas bahawa mempunyai perasaan cinta tidak haram. Mengingati orang yang kita cintai tidak haram. Rindu kepada orang yang kita cintai itu tidak haram. Tetapi mestilah tidak berlebihan. Perlulah kita berusaha mendisiplinkan diri, dan berusaha membina peribadi yang mapan jika benar-benar mahu perasaan itu dimanifestasikan dengan perkahwinan.

            Saya yakin, kita semua bersetuju ianya adalah haram, berdosa, sekiranya hingga menganggu ibadah dan kehidupan. Tetapi apakah perlu kita memadamkan terus perasaan cinta? Tidak.

Asy-Syahid Syed Qutb apabila mentafsirkan ayat 235 Surah Al-Baqarah yang saya nukilkan tadi, menyatakan dalam Tafsir Fi Zilalil Quran karangannya:

            “Dan Islam itu tidak menghancurkan kecenderungan fitrah, tetapi membajainya. Dan tidak menekan naluri kemanusiaan, tetapi mengawalnya.”

            Begitulah Asy-Syahid Syed Qutb mentafsirkan ayat tersebut, sebagai mengakui bahawa Islam tidak terus memadamkan perasaan cinta itu, tidak melarang cinta sebelum kahwin itu. Tetapi, dalam konteks ayat tadi yang membicarakan perihal eddah, perlulah pencinta menghormati waktu eddah tadi dengan tidak melamar perempuan itu kala eddahnya belum habis.

            Maka begitulah mereka yang mempunyai perasaan cinta sebelum kahwin. Perlulah menghormati batas-batas yang Islam telah tetapkan. Tidaklah boleh keluar bersama tanpa batasan, tidaklah boleh bercumbu-cumbuan, tidaklah boleh bermadu asmara baik di alam realiti atau di alam maya.

            Tetapi perasaan cinta itu perlulah digerakkan ke arah perkahwinan. Berusaha secara serius mempersiapkan diri. Berusaha menyegerakan perkahwinan dengan berusaha menyegerakan pemantapan peribadi. Berusaha mencapai mampu. Berusaha menggapai matang. Itulah dia bukti cinta. Ditolak oleh perasaan cinta sebelum berkahwin itu. Serius.

            Zina Hati tidak boleh dipakai untuk cinta yang sedemikian rupa.

            Zina Hati hakikatnya pada saya, hanya boleh dipakai untuk orang yang memang menaruh niat untuk berzina, mengharapkan nikmat bersetubuh di luar hukum syara’, dan mereka yang telah melalaikan kehidupan dan ibadah mereka kerana kemaruk dalam dunia percintaan yang entah ke mana.

            Tetapi untuk mereka yang punya perasaan cinta yang sebenar, serius untuk berkahwin, bergerak dengan bersungguh-sungguh ke arahnya, maka bagaimanakah kita boleh menakut-nakutkan mereka ini dengan terma Zina Hati ini?

            Nyata ini adalah satu perkara yang ekstrim, dan membunuh fitrah insani.
            Sekaligus mempalitkan kepada Islam wajah kejumudan yang menjadi fitnah kepada orang yang memerhati.

Penutup: Dari Menyalahkan Cinta, Mengapa Tidak Kita Membersihkannya?

Justeru, mengapa kita perlu terus berlari dalam bulatan, dan berputar dalam isu yang sama?

            Cinta sebelum kahwin haram. Cinta sebelum kahwin haram. Itu tidak menyelesaikan apa-apa pada saya. Yang mampu bertahan, ya mampu bertahan. Tetapi kita perlu tahu bahawa kita tidak hidup dalam komuniti malaikat. Berapa ramai yang mampu bertahan?

            Mengapa tidak kita membersihkan definisi cinta, dan mengajar manusia bagaimana mahu bercinta sebelum kahwin dengan betul. Bagaimanakah cinta sebelum kahwin yang sebenar. Di situlah kita sebenarnya telah memberikan keadilan kepada cinta, dan kepada manusia yang fitrahnya mahu mencintai dan dicintai.

            Saya yakin, itu akan membawa lebih ramai lagi ke atas jalan cinta yang bersih dan syar’ie, di samping membasmi kejumudan yang membawa kerosakan kepada hubungan, seperti yang saya nyatakan tadi.

            Saya sentiasa percaya bahawa cinta sebelum kahwin itu halal, dan ada.

            Dan batasnya adalah ianya mesti membawa ke syurga, dan apa-apa yang membawa ke neraka itu bukanlah cinta namanya.

p/s: Cinta yang sebenar itu adalah hendak bersama
ke syurga,
apa-apa yang melempar ke neraka, 
itu bukan cinta namanya.

Cinta itu Fitrah.... Rindu atau sebagainya yg perkatakan di atas itu... Pada saya betul la, yg penting kita bijak Mengawalnya dan jgn sampai tersasar dari landasan ! Wallahualam ^^

"TIGA perkataan bermakna yang paling di tunggu oleh setiap wanita..bukan "I LOVE YOU" tetapi "AKU TERIMA NIKAHNYA"..♥

Cinta Sebelum Berkahwin? Boleh?

Lama rasa tak update blog..hari ni rasa nak post pasal satu tajuk yang memang famous dalam hidup ni. Iaitu.. pasal ?? pasal cinta sebelum nikah ^_^ minta maaf tiba-tiba post pasal tajuk cinta lagi. Tapi tajuk kali ni lain sikit sebab dia pasal cinta sebelum nikah, sama ada boleh dalam Islam atau tidak? Jom sama-sama baca article ni. saya retrieved daripada penulis blog, nama dia Dalilah :)


............................................

Cinta sebelum berkahwin, atau cinta sebelum nikah, amat popular ayat ini. Bahkan kebanyakan orang mengharamkannya kerana menyatakan ianya membuka ruang kepada zina. Saya tidak menyalahkan orang yang mengharamkannya, kerana jelas bahawa cinta hari ini telah dirosakkan, sehingga ianya diamalkan dengan cara yang salah, sekaligus menjadi pintu maksiat kepada ramai orang.

            Cinta mestilah berpegang tangan, cinta mestilah keluar berdua-duaan, cinta mestilah melalaikan dan mengalpkan, cinta mestilah mmenghabiskan duit, cinta mestilah membazir masa, cinta mestilah melakukan zina dan pelbagai lagi perlanggaran kepada syariat Allah SWT. Begitulah dunia menggambarkan cinta. Jadi, memang tidak hairan, cinta diharamkan sebelum bernikah.

            Namun, saya kembali kepada definisi cinta saya. Yakni:

            “Kalau benar cinta, mestilah hendak bersama ke syurga. Apa-apa yang melempar ke neraka, itu bukan cinta namanya.”

            Jadi untuk saya, cinta dengan definisi saya itu, wujud sebelum berkahwin.

Paradigma Yang Mesti Dipecahkan.

Suasana ‘bercinta’ yang kita lihat dalam masyarakat kita hari ini, saya amat yakin ianya ‘diajar’ dan ‘dididik’ daripada majalah-majalah, televisyen-televisyen, filem dan drama yang menunjukkan ‘cinta’ versi dunia. Jadi, anak-anak, bahkan orang-orang tua, yang membesar di dalam suasana ini akan mula melihat: “Kalau nak bercinta, mestilah kena macam itu.”

            Maka mereka contohi.

            Begitulah kita lihat cara pemakaian. Hari ini, cara pemakaian yang dipamerkan oleh selebriti-selebriti kita, akan menjadi ikutan. Apabila lemahnya didikan agama, dan tidak diprosesnya hubungan antara manusia dengan Allah SWT, maka public figure yang menjadi ‘Tuhan’, bukannya lagi Allah SWT. Justeru, perintah Allah SWT diletakkan ke tepi.

            Begitulah suasana membentuk.

            Justeru, satu perkara yang perlu dilakukan dalam membincangkan ‘cinta sebelum berkahwin’ ini adalah kita perlu pecahkan paradigma yang dibina oleh jahiliyyah ini. Kerana itu, salah satu cara untuk saya memecahkan paradigma ini, adalah dengan saya membina definisi cinta saya.

Cinta Itu Fitrah.

Asal cinta adalah perasaan. Sebelum perbuatan, cinta sebenarnya adalah perasaan. Jadi, Islam tidak pernah melarang perkara fitrah. Contohnya seks. Islam tidak pernah menghalang dan manfikan hak seks dalam kehidupan manusia. Kerana itu adalah fitrah. Tetapi Islam memandu manusia untuk melakukan seks pada tempatnya yang betul. Dengan caranya yang betul.

            Maka, begitulah cinta. Semestinya cinta tidak haram. Apatah lagi, cinta adalah perasaan, yang tidak boleh dikawal. Tiba-tiba jatuh cinta. Siapa sangka? Jadi mustahil Islam mengharamkan perkara yang sedemikian rupa.

            Di sinilah kita perlu membezakan antara cinta seperti pegang tangan, keluar dating, dan sebagainya tadi, dengan cinta yang ini.

            Perasaan ini, tidak haram.

            Dan tidak wujud dalil Allah dan RasulNya mengharamkan perasaan cinta sebelum berkahwin. Bahkan perasaan cinta ini diiktiraf oleh Al-Quran.

            Lihatlah firman Allah SWT:

            “Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang dalam edah kematian suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis edah yang ditetapkan itu. dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.” Surah Al-Baqarah ayat 235.

            Ayat ini hakikatnya adalah larangan untuk meminang wanita dalam waktu edah kematian suaminya sebelum tamat edah tersebut. Hukum edah ini nyata banyak kemaslahatannya, terutama dalam menjaga nasab keturunan, juga perasaan keluarga si mati. Namun Allah SWT tidak pula melarang ‘sindiran’ atau kiasan yang membawa maksud untuk meminang. Juga tidak diharamkan niat dan perasaan cinta yang menggerakkan rasa untuk meminang itu tadi. Ini semua hakikatnya adalah pengiktirafan kepada Jatuh Cinta, menyatakan betapa itu fitrah, hingga Allah sendiri tidak melarangnya. Tinggal, Allah SWT memberikan peraturan kepadanya. Ada tatacaranya. Bukan boleh diterjah begitu sahaja.

            Jadi, tiada masalah cinta sebelum berkahwin.

            Tinggalnya, apakah kita menjaga batas-batasnya?

Cinta Adalah Ingin Bersama Ke Syurga.

Saya bina definisi cinta saya sedemikian, kerana ingin membina disiplin di dalam bercinta.

            Cinta adalah ingin bersama ke syurga. Maka jika benar saya mencintai orang yang saya cintai, maka saya akan berusaha agar saya berada di syurga, dan dia berada di syurga. Maka semestinya jalan ke syurga ini tidak akan diisi dengan kemaksiatan. Semestinya syurga itu, tidak akan mampu dicapai  dengan kemungkaran kepada Allah SWT.

            Dan hendak pergi ke syurga, semestinya perlu membina diri menjadi yang lebih baik lagi. Perlu membina hati supaya menjadi yang lebih bersih lagi. Jadi mustahil hendak diisi waktu ini dengan perkara yang merosakkan diri, dengan tidak berbuat apa-apa?

            Maka memperkasakan peribadi, mematangkan diri, meningkatkan kekuatan jiwa, adalah aktiviti-aktiviti yang mesti diusahakan, jika benar kita cinta kepada orang yang kita cintai. Kita akan mula berfikir betapa diri kita ini jika tidak pernah cuba berusaha bersungguh-sungguh untuk membina diri, bagaimana pula kita mahu memimpin pasangan kita ke syurga nanti?

            Ya.

            Maka jika kita definisikan cinta adalah ingin bersama ke syurga, kita akan mula melihat satu suasana lain dalam alam percintaan ini.

            Cinta adalah usaha memperkasakan ibadah. Cinta adalah usaha membina kebersihan hati. Cinta adalah usaha mempunyai kekuatan jiwa. Cinta adalah usaha mempunyai kecantikan peribadi. Cinta adalah usaha mempertingkatkan kefahaman Islam. Cinta adalah usaha mencapai kemampuan berkahwin.

            Ya. Itulah dia cinta. Bukan lagi seperti versi yang sebelumnya.

            Dan perkara ini berjalan dari sebelum berkahwin, dan berterusan hingga selepas berkahwin.

Apa-apa Yang Melempar Ke Neraka Bukan Cinta Namanya.

Saya letakkan ini sebagai pelengkap definisi cinta, agar segala jenis maksiat tidak masuk dalam urusan cinta. Ya, amat pelik bila kita menendang seseorang ke dalam api, kemudian kita mengaku kita cinta akan dia.

            Maka bila memahami bahawa apa-apa yang melempar ke neraka itu bukan cinta namanya, kita akan tidak sesekali memasukkan kemaksiatan di dalam percintaan kita.

            Kita tidak akan larut dengan perasaan sehingga mendatangkan kelalaian, menganggu kehidupan dan pengabdian kita kepada Tuhan. Kita tidak akan mengajak pasangan kita melangkah batasan yang Allah tetapkan, seperti keluar berdua-duaan, berpegangan tangan, berhabisan duit sehingga membawa kepada pembaziran, menghabiskan waktu bergayut dengan telefon dan sebagainya sehingga terabai segala kerja dan pelajaran. Dan semestinya, perkara seperti zina, menggadai maruah, jauh tidak termasuk ke dalam cinta dengan definisi ini.

            Jadi, apa-apa sahaja yang keterlaluan dan membawa kita ke lembah kelalaian, kealpaan, kemaksiatan kepada Allah SWT, maka itu jelas bukan satu cinta.

            Di sinilah seorang pencinta yang memahami, yang benar-benar mencintai, akan berjaga-jaga dan berdisiplin!

Kejumudan Terhadap Cinta.

Kejumudan terhadap cinta, dan salah faham manusia terhadapnya menyebabkan ramai orang lain terseksa. Cinta yang sepatutnya indah, menjadi perit dan sukar. Cinta yang sepatutnya boleh dilayari dengan mudah, menjadi tersangat susah.

            Kita semua maklum bahawa petunangan tidak menghalalkan apa-apa. Namun kita sepatutnya maklum bahawa medan pertunangan, ada kelonggaran untuk memberikan ruang agar bibit-bibit cinta itu muncul, agar bibit-bibit perkenalan itu berputik, agar kita rasa senang dengan pilihan kita dan merasa yakin dengannya.

            Tetapi oleh kerana kefahaman bahawa ‘cinta sebelum berkahwin itu haram’, melekat kemas dalam peribadi manusia-manusia ‘soleh&solehah’ hari ini, hingga kala pertunangan pun, disempitkan cinta sesempit-sempitnya.

            Telefon tidak boleh. Walaupun bukan untuk bermadu asmara. Untuk urusan yang penting!

            Berjumpa tidak boleh. Walaupun dengan ditemani Ibu Bapa!

            Sebab itu kadangkala, dengan manusia sebegini, pertunangannya bergoncang, dan ada yang sehingga putus. Mereka tidak memahami betapa Islam itu turun untuk manusia, bukan para malaikatNya yang sempurna.

            Manusia ada hati dan perasaan. Ada jiwa. Dia akan mudah diganggu. Jadi mengapa jika ada urusan penting, seperti urusan-urusan yang menghala ke arah perkahwinan, atau bila ada salah faham yang berlaku, kita tidak boleh selesaikan dengan telefon?

            Saya pernah bertemu dengan seorang lelaki, yang ingin mengajak tunangnya untuk mengawalkan perkahwinan mereka. Lelaki itu, bersungguh-sungguh membeli hadiah, dan mengirimkan kepada tunangnya, bersama di dalamnnya wujud lamaran.

            Tetapi, perempuan itu menolak begitu sahaja, dalam keadaan tidak mahu berbincang dengan telefon. Dan akhirnya mereka bergaduh besar. Lelaki itu, telah berusaha bersungguh-sungguh, keluar duit dan sebagainya, untuk menghalalkan hubungan mereka agar boleh dinaikkan ke satu tahap lagi, namun tunangnya itu menolak mentah-mentah.

            Saya yang melihat perkara itu, bertanya kepada sahabat saya itu:

            “Apa sebab dia tolak mentah-mentah je macam itu?”
            “Dia kata, kalau orang dah kata tak nak, tak naklah.”
            “Telefonlah. Bincang elok-elok. Biar dia dengar suara kau.”
            “Dia tak mahu. Katanya, email sudah cukup. Email tak bernada la! Dia yang kata nak bercinta lepas kahwin, bila ajak kahwin, dia macam-macam hal pula.” Luah hati sahabat saya itu.

            Saya bersimpati dengannya. Begitulah kejumudan merosakkan hubungan antara dua manusia.

            Apa salahnya telefon atas perkara sepenting itu?

            Begitukah Islam ajar? Begitukah sekali ‘haramnya cinta sebelum kahwin’ hingga merosakkan hubungan pertunangan yang terbina? Bukannya lelaki itu buat benda yang tidak syar’ie.

            Kemudian dikatakan haram sekiranya ada perasaan rindu. Astaghfirullah. Rindu itu bukankah satu fitrah? Mengapa diharamkan? Pada saya, bila fitrah diharamkan, maka menjadilah Islam itu kelihatan seperti agama lain yang mengharamkan pelbagai fitrah insan. Islam ini, lahirnya mengawal. Maka mengapa mengharamkan rindu? Sepatutnya, ceritakanlah bagaimana rindu yang sepatutnya. Ceritakanlah bahawa rindu tidaklah boleh sehingga menganggu kehidupan dan menganggu ibadah. Begitulah.

            Ekstrimis Zina Hati ini, sehingga sampai satu tahap, tunang dengan tunang hendak keluar bersama, ditemani keluarga dari kedua-dua belah pihak (Ibu dan Ayah kedua-duanya), pun dikatakan satu zina hati. Sedangkan kehidupan ini diselit seribu satu dugaan. Mereka sudahlah tidak bercouple dan tidak sentiasa bersama. Mungkin ada pula antara manusia yang bertunang ini, belum benar-benar kenal satu sama lain. Justeru, apa salahnya keluar bersama dengan diiringi Ayah dan Ibu mereka? Di situlah peluang mereka benar-benar melihat dan memerhatikan pasangan mereka. Menambah keyakinan dan kekuatan perasaan yang mereka ada, pada pilihan yang mereka buat.

            Tetapi kita terus-terusan menyempitkan Islam sesempit-sempitnya. Seakan tiada ruang untuk fitrah manusia keluar melihat cahaya, untuk dipandu ke arah yang sebenarnya. Kita ini manusia, bukan para malaikat. Itu satu perkara penting yang perlu difahami. Islam itu turunnya buat kita yang manusia ini. Ini bukannya sama dengan hubungan bebas tanpa batas. Ini tidak sama sekali serupa dengan kelalaian dan kealpaan yang menggila, yang dibawa oleh cinta yang didefinisikan dunia. Sudah pelbagai batas wujud di dalam perkara ini, itupun masih mahu disempit-sempitkan lagi oleh Ekstrimis Zina Hati.

            Kerana itu, saya sentiasa berhajat untuk membetulkan dan memecahkan kejumudan ini.

            Definasi cinta yang sebenar. Kita perlu kembali kepada yang itu.

            Bukan masih terikat dengan fobia kita terhadap cinta versi dunia.
Alhamdulillah..inilah isi entri daripada penulis Dalilah. Saya betul-betul bersetuju dengan semua hujah katanya yang berserta dalil dalam Al-Quran. Buat para muda-mudi di luar sana, cinta sebelum nikah itu tidak salah dan tidak diharamkan tapi perlulah dipandu mengikut landasan dan syariat Islam :)