Monday, 22 January 2018

Ciri-Ciri Anak Mempunyai Masalah Autisme

Apakah autisme ? Autisme merupakan sejenis penyakit gangguan perkembangan otak si kecil yang akan memberi kesan kepada perkembangan sosial dan minda mereka. Menurut The Diagnostic And Statistical Manual Of Mental Disorders 5th Edition ( DSM 5 ) penyakit ini juga dikenali sebagai Autism Spectrum Disorder atau ASD. Kanak-kanak yang mempunyai penyakit ini akan menghadapi masalah daripada segi sosial, komunikasi verbal dan non verbal serta kelakuan atau tingkahlaku. Menurut satu kajian menggunakan MHCAT atau Mental Health Computerized Adaptive Testing di klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa nisbah kanak-kanak autisme adalah empat hingga lima kali lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Autisme ini juga boleh dihidapi oleh kanak-kanak pelbagai bangsa, agama dan kedudukan sosial.


Pada masa kini kebanyakan kanak-kanak yang didiagnosis dengan autisme bermula lewat umur 4 tahun dan ke atas. Ini menunjukkan autisme tidak cuba dikenal pasti dalam kalangan kanak-kanak sejak daripada peringkat awal lagi. Mengenal pasti ciri-ciri dan masalah autisme ini sejak daripada awal lagi iaitu sejak daripada bayi lagi adalah penting kerana menurut kajian rawatan serta intervention yang dilakukan kepada kanak-kanak autisme sejurus selepas pemeriksaan awal dibuat akan menghasilkan keputusan yang lebih baik dalam pelbagai aspek seperti pembelajaran, kemahiran sosial dan komunikasi berbanding dengan kanak-kanak autisme yang dikesan agak lewat.

Punca utama bagi masalah autisme ini masih tidak diketahui namun terdapat beberapa faktor risiko yang boleh menyumbang kepada masalah autisme ini.

FAKTOR RISIKO YANG BOLEH MENYUMBANG KEPADA AUTISME

🔮 Usia ibu dan bapa yang meningkat
🔮 Bayi lahir pramatang bawah 33 minggu
🔮 Faktor jangkitan di kawasan otak
🔮 Terdapat masalah semasa kehamilan
🔮 Faktor masalah selepas kelahiran
🔮 Sejarah autisme dalam keluarga
🔮 Faktor genetik

Ciri-ciri atau tanda-tanda autisme boleh dilihat dan dikenal pasti sejak daripada awal lagi iaitu sejak daripada bayi lagi. Berikut merupakan tanda-tanda kemungkinan anak anda berisiko mempunyai masalah autisme.


CIRI-CIRI DAN TANDA-TANDA ANAK MUNGKIN BERISIKO MENGHIDAP AUTISME

KETIKA BAYI BERUSIA 6 BULAN

🔮 Bayi sukar untuk mengukir senyuman, tergelak serta sukar menunjukkan reaksi gembira
🔮 Bayi tiada hubungan mata atau hubungan mata yang terhad dengan ibubapanya atau orang sekelilingnya

KETIKA BAYI BERUSIA 9 BULAN

🔮 Bayi tidak membuat sebarang bunyi dan tidak senyum. Bayi juga tidak mampu memberikan sebarang ekspresi wajah.

KETIKA BAYI BERUSIA 12 BULAN

🔮 Bayi tidak dapat mengagah
🔮 Bayi tidak mampu untuk membuat isyarat berkomunikasi seperti mencapai sesuatu dan melambai
🔮 Bayi tidak memberi sebarang tindak balas atau respon ketika namanya dipanggil

KETIKA BAYI BERUSIA 16 BULAN DAN KE ATAS

🔮 Bayi tidak dapat berceloteh atau membunyikan suara semasa berusia 16 bulan
🔮 Kanak-kanak berumur 2 tahun ke atas tidak dapat mengeluarkan perkataan atau kata-kata


ANTARA TANDA-TANDA LAIN AUTISME

🔮 Mengalihkan pandangan mata atau mengelak hubungan mata. Juga disebut sebagai tidak dapat melakukan eye contact dengan orang lain
🔮 Lambat bercakap atau perkembangan pertuturan kata-kata sangat lambat
🔮 Mempunyai masalah sering mengulangi frasa atau perkataan berulang kali atau disebut sebagai echolalia
🔮 Mempunyai tingkah laku pelik iaitu berulang-ulang kali melakukan sesuatu seperti berpusing dan menggoyangkan badan
🔮 Mempunyai respon atau tindak balas dan reaksi yang berlebihan dan keterlaluan terhadap bunyi, rasa, warna, bau dan juga cahaya
🔮 Memiliki minat yang sangat terhad atau tidak menunjukkan minat terhadap sesuatu perkara atau benda di hadapannya
🔮 Tidak berkawan dengan orang lain atau tidak mahu bermain dengan orang lain. Ini merupakan hubungan sosial anak yang sangat lemah
🔮 Tidak melihat atau menoleh kepada sesuatu perkara atau objek yang ditunjukkan kepada mereka
🔮 Tidak dapat menunjukkan jari atau isyarat tangan kepada sesuatu perkara atau objek di sekeliling mereka kepada ibubapa agar dilihat oleh ibubapa
🔮 Ketawa berlebihan dan senyum dalam keadaan yang tidak sesuai
🔮 Sering mengibas-ngibaskan tangan dan suka memutarkan sesuatu objek
🔮 Sering mengulangi sesuatu perbuatan atau tingkah laku dan juga sering mengulangi percakapan dalam perkara yang sama

Jadi kepada semua ibubapa bolehlah mengambil langkah awal dengan cuba mengenal pasti ciri-ciri autisme dalam diri anak-anak masing-masing sejak daripada peringkat bayi lagi. Ini kerana langkah rawatan dan intervention awal mampu meningkatkan kadar keputusan yang lebih baik untuk anak-anak autisme daripada segi pembelajaran, komunikasi dan hubungan sosial mereka. Inshaa Allah dalam entri saya seterusnya saya akan kongsikan pula tentang rawatan dan intervention yang boleh dilakukan ke atas kanak-kanak autisme untuk membantu mereka meningkatkan perkembangan minda, sosial dan komunikasi mereka.

No comments:

Post a Comment