Thursday, 22 March 2018

5 Sebab Utama Mengapa Ibubapa Perlu Membiarkan Kanak-Kanak Makan Sendiri

Terlalu ramai ibubapa yang sering menyuap anak mereka makan dan tidak mahu membiarkan mereka menyuap dan makan sendiri kerana tidak mahu makanan tersebut bersepah. Selain itu ibubapa juga risau jika makanan yang disuap oleh anak mereka sendiri lebih banyak tumpah berbanding makanan yang masuk ke dalam mulut. Memang benar namun cara ini jika diteruskan adalah tidak baik untuk anak anda kerana skill atau kemahiran ototnya tidak dapat dilatih dengan baik.


Jadi dalam entri saya kali ini saya akan menerangkan tentang 5 sebab utama mengapa golongan ibubapa perlu membiarkan anak mereka makan sendiri dan menyuap makanan mereka sendiri. Fasa ini adalah penting untuk membantu dalam pertumbuhan dan perkembangan kemahiran otot mereka. Tahukah anda bahawa bayi seawal umur 6 bulan sebenarnya sudah boleh menyuapkan makanan mereka sendiri ? Jika ibubapa membiarkan anak mereka menyuap makanan mereka sendiri maka kemahiran otot mereka akan dapat dilatih. Bersepah sewaktu makan itu adalah perkara biasa. Namun lama-kelamaan apabila kemahiran otot mereka semakin kuat mereka akan dapat menguruskan sendiri.

5 SEBAB UTAMA MENGAPA IBUBAPA PERLU MEMBIARKAN SI KECIL MENYUAPKAN MAKANAN MEREKA SENDIRI

1) Meningkatkan Kemahiran Menggunakan Deria

▪ Waktu makan adalah waktu yang mana anak anda lebih banyak terdedah dengan penggunaan deria yang pelbagai iaitu deria penglihatan untuk melihat makanan, deria bau untuk menghidu makanan serta deria rasa untuk memegang makanan serta lidah untuk merasa makanan tersebut.
▪ Biarkan mereka memegang makanan mereka sendiri dan biarkan mereka makan sendiri sama ada menggunakan tangan atau sudu agar kemahiran otot mereka dapat dilatih begitu juga dengan kemahiran menggunakan deria mereka juga dapat dipertingkatkan

2) Meningkatkan Kemahiran Koordinasi

▪ Perbuatan dan pergerakan mencedok makanan dan menyuapkan makanan ke dalam mulut mereka sendiri adalah sebagai latihan asas untuk melatih kemahiran koordinasi tangan mereka
▪ Walaupun latihan ini memerlukan masa yang lama untuk mereka meningkatkan kemahiran koordinasi tangan mereka namun jika latihan yang berterusan dilakukan lama-kelamaan mereka akan berupaya untuk tidak menumpahkan makanan sewaktu makan

3) Memupuk Nilai Berdikari

▪ Nilai berdikari dapat dipupuk dalam diri si kecil atau kanak-kanak jika ibubapa mereka membiarkan mereka menyuapkan makanan mereka sendiri
▪ Cara ini akan melatih mereka untuk cuba belajar melakukan sesuatu tanpa dibantu oleh ibubapa mereka dan menjadikan mereka lebih berdikari
▪ Namun ibubapa perlu memastikan agar anak mereka tidak gelojoh semasa makan dan juga memastikan anak mereka benar-benar makan makanan yang disediakan untuk mereka

4) Meningkatkan Perkembangan Saraf Motor

▪ Apabila anak anda menyuapkan makanan mereka sendiri sebenarnya ini akan meningkatkan pembangunan saraf motor mereka
▪ Ini kerana ketika mereka melakukan perbuatan menyuapkan makanan mereka sendiri maka mereka telah menggunakan saraf-saraf motor mereka untuk menggerakkan tangan mereka untuk menyuap makanan serta menggerakkan mata untuk melihat makanan dan juga menggerakkan lidah dan mulut untuk merasa serta mengunyah makanan

5) Meningkatkan Penggunaan Dan Kesedaran Anggota Badan Yang Lebih Baik

▪ Sewaktu anak anda sedang belajar menyuapkan makanan mereka sendiri maka pada masa yang sama juga mereka akan belajar tentang di mana letaknya mulut mereka serta mereka juga akan belajar dan sedar tentang penggunaan tangan mereka
▪ Mereka juga akan belajar tentang berapa banyak tenaga dan daya yang diperlukan untuk menggerakkan tangan mereka dan mereka juga akan belajar tentang bagaimana cara untuk memegang sudu dan cawan serta begitu juga mereka akan belajar tentang penggunaan anggota badan yang lain

Jadi kesimpulannya memang sangat penting bagi anda sebagai ibu dan bapa untuk membiarkan anak makan sendiri dan biarkan mereka menyuapkan makanan mereka sendiri. Di sinilah ibu dan bapa memulakan langkah untuk melatih dan mendidik mereka untuk meningkatkan perkembangan pertumbuhan mereka seperti menggunakan deria dan lain-lain. Okay setakat itu sahaja. In Shaa Allah saya akan berkongsi mengenai tips dan ilmu-ilmu berkaitan kekeluargaan  lagi di lain hari 😊






8 comments: