Wednesday, 1 January 2014

Cinta Sebelum Berkahwin? Boleh?

Lama rasa tak update blog..hari ni rasa nak post pasal satu tajuk yang memang famous dalam hidup ni. Iaitu.. pasal ?? pasal cinta sebelum nikah ^_^ minta maaf tiba-tiba post pasal tajuk cinta lagi. Tapi tajuk kali ni lain sikit sebab dia pasal cinta sebelum nikah, sama ada boleh dalam Islam atau tidak? Jom sama-sama baca article ni. saya retrieved daripada penulis blog, nama dia Dalilah :)


............................................

Cinta sebelum berkahwin, atau cinta sebelum nikah, amat popular ayat ini. Bahkan kebanyakan orang mengharamkannya kerana menyatakan ianya membuka ruang kepada zina. Saya tidak menyalahkan orang yang mengharamkannya, kerana jelas bahawa cinta hari ini telah dirosakkan, sehingga ianya diamalkan dengan cara yang salah, sekaligus menjadi pintu maksiat kepada ramai orang.

            Cinta mestilah berpegang tangan, cinta mestilah keluar berdua-duaan, cinta mestilah melalaikan dan mengalpkan, cinta mestilah mmenghabiskan duit, cinta mestilah membazir masa, cinta mestilah melakukan zina dan pelbagai lagi perlanggaran kepada syariat Allah SWT. Begitulah dunia menggambarkan cinta. Jadi, memang tidak hairan, cinta diharamkan sebelum bernikah.

            Namun, saya kembali kepada definisi cinta saya. Yakni:

            “Kalau benar cinta, mestilah hendak bersama ke syurga. Apa-apa yang melempar ke neraka, itu bukan cinta namanya.”

            Jadi untuk saya, cinta dengan definisi saya itu, wujud sebelum berkahwin.

Paradigma Yang Mesti Dipecahkan.

Suasana ‘bercinta’ yang kita lihat dalam masyarakat kita hari ini, saya amat yakin ianya ‘diajar’ dan ‘dididik’ daripada majalah-majalah, televisyen-televisyen, filem dan drama yang menunjukkan ‘cinta’ versi dunia. Jadi, anak-anak, bahkan orang-orang tua, yang membesar di dalam suasana ini akan mula melihat: “Kalau nak bercinta, mestilah kena macam itu.”

            Maka mereka contohi.

            Begitulah kita lihat cara pemakaian. Hari ini, cara pemakaian yang dipamerkan oleh selebriti-selebriti kita, akan menjadi ikutan. Apabila lemahnya didikan agama, dan tidak diprosesnya hubungan antara manusia dengan Allah SWT, maka public figure yang menjadi ‘Tuhan’, bukannya lagi Allah SWT. Justeru, perintah Allah SWT diletakkan ke tepi.

            Begitulah suasana membentuk.

            Justeru, satu perkara yang perlu dilakukan dalam membincangkan ‘cinta sebelum berkahwin’ ini adalah kita perlu pecahkan paradigma yang dibina oleh jahiliyyah ini. Kerana itu, salah satu cara untuk saya memecahkan paradigma ini, adalah dengan saya membina definisi cinta saya.

Cinta Itu Fitrah.

Asal cinta adalah perasaan. Sebelum perbuatan, cinta sebenarnya adalah perasaan. Jadi, Islam tidak pernah melarang perkara fitrah. Contohnya seks. Islam tidak pernah menghalang dan manfikan hak seks dalam kehidupan manusia. Kerana itu adalah fitrah. Tetapi Islam memandu manusia untuk melakukan seks pada tempatnya yang betul. Dengan caranya yang betul.

            Maka, begitulah cinta. Semestinya cinta tidak haram. Apatah lagi, cinta adalah perasaan, yang tidak boleh dikawal. Tiba-tiba jatuh cinta. Siapa sangka? Jadi mustahil Islam mengharamkan perkara yang sedemikian rupa.

            Di sinilah kita perlu membezakan antara cinta seperti pegang tangan, keluar dating, dan sebagainya tadi, dengan cinta yang ini.

            Perasaan ini, tidak haram.

            Dan tidak wujud dalil Allah dan RasulNya mengharamkan perasaan cinta sebelum berkahwin. Bahkan perasaan cinta ini diiktiraf oleh Al-Quran.

            Lihatlah firman Allah SWT:

            “Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang dalam edah kematian suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis edah yang ditetapkan itu. dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.” Surah Al-Baqarah ayat 235.

            Ayat ini hakikatnya adalah larangan untuk meminang wanita dalam waktu edah kematian suaminya sebelum tamat edah tersebut. Hukum edah ini nyata banyak kemaslahatannya, terutama dalam menjaga nasab keturunan, juga perasaan keluarga si mati. Namun Allah SWT tidak pula melarang ‘sindiran’ atau kiasan yang membawa maksud untuk meminang. Juga tidak diharamkan niat dan perasaan cinta yang menggerakkan rasa untuk meminang itu tadi. Ini semua hakikatnya adalah pengiktirafan kepada Jatuh Cinta, menyatakan betapa itu fitrah, hingga Allah sendiri tidak melarangnya. Tinggal, Allah SWT memberikan peraturan kepadanya. Ada tatacaranya. Bukan boleh diterjah begitu sahaja.

            Jadi, tiada masalah cinta sebelum berkahwin.

            Tinggalnya, apakah kita menjaga batas-batasnya?

Cinta Adalah Ingin Bersama Ke Syurga.

Saya bina definisi cinta saya sedemikian, kerana ingin membina disiplin di dalam bercinta.

            Cinta adalah ingin bersama ke syurga. Maka jika benar saya mencintai orang yang saya cintai, maka saya akan berusaha agar saya berada di syurga, dan dia berada di syurga. Maka semestinya jalan ke syurga ini tidak akan diisi dengan kemaksiatan. Semestinya syurga itu, tidak akan mampu dicapai  dengan kemungkaran kepada Allah SWT.

            Dan hendak pergi ke syurga, semestinya perlu membina diri menjadi yang lebih baik lagi. Perlu membina hati supaya menjadi yang lebih bersih lagi. Jadi mustahil hendak diisi waktu ini dengan perkara yang merosakkan diri, dengan tidak berbuat apa-apa?

            Maka memperkasakan peribadi, mematangkan diri, meningkatkan kekuatan jiwa, adalah aktiviti-aktiviti yang mesti diusahakan, jika benar kita cinta kepada orang yang kita cintai. Kita akan mula berfikir betapa diri kita ini jika tidak pernah cuba berusaha bersungguh-sungguh untuk membina diri, bagaimana pula kita mahu memimpin pasangan kita ke syurga nanti?

            Ya.

            Maka jika kita definisikan cinta adalah ingin bersama ke syurga, kita akan mula melihat satu suasana lain dalam alam percintaan ini.

            Cinta adalah usaha memperkasakan ibadah. Cinta adalah usaha membina kebersihan hati. Cinta adalah usaha mempunyai kekuatan jiwa. Cinta adalah usaha mempunyai kecantikan peribadi. Cinta adalah usaha mempertingkatkan kefahaman Islam. Cinta adalah usaha mencapai kemampuan berkahwin.

            Ya. Itulah dia cinta. Bukan lagi seperti versi yang sebelumnya.

            Dan perkara ini berjalan dari sebelum berkahwin, dan berterusan hingga selepas berkahwin.

Apa-apa Yang Melempar Ke Neraka Bukan Cinta Namanya.

Saya letakkan ini sebagai pelengkap definisi cinta, agar segala jenis maksiat tidak masuk dalam urusan cinta. Ya, amat pelik bila kita menendang seseorang ke dalam api, kemudian kita mengaku kita cinta akan dia.

            Maka bila memahami bahawa apa-apa yang melempar ke neraka itu bukan cinta namanya, kita akan tidak sesekali memasukkan kemaksiatan di dalam percintaan kita.

            Kita tidak akan larut dengan perasaan sehingga mendatangkan kelalaian, menganggu kehidupan dan pengabdian kita kepada Tuhan. Kita tidak akan mengajak pasangan kita melangkah batasan yang Allah tetapkan, seperti keluar berdua-duaan, berpegangan tangan, berhabisan duit sehingga membawa kepada pembaziran, menghabiskan waktu bergayut dengan telefon dan sebagainya sehingga terabai segala kerja dan pelajaran. Dan semestinya, perkara seperti zina, menggadai maruah, jauh tidak termasuk ke dalam cinta dengan definisi ini.

            Jadi, apa-apa sahaja yang keterlaluan dan membawa kita ke lembah kelalaian, kealpaan, kemaksiatan kepada Allah SWT, maka itu jelas bukan satu cinta.

            Di sinilah seorang pencinta yang memahami, yang benar-benar mencintai, akan berjaga-jaga dan berdisiplin!

Kejumudan Terhadap Cinta.

Kejumudan terhadap cinta, dan salah faham manusia terhadapnya menyebabkan ramai orang lain terseksa. Cinta yang sepatutnya indah, menjadi perit dan sukar. Cinta yang sepatutnya boleh dilayari dengan mudah, menjadi tersangat susah.

            Kita semua maklum bahawa petunangan tidak menghalalkan apa-apa. Namun kita sepatutnya maklum bahawa medan pertunangan, ada kelonggaran untuk memberikan ruang agar bibit-bibit cinta itu muncul, agar bibit-bibit perkenalan itu berputik, agar kita rasa senang dengan pilihan kita dan merasa yakin dengannya.

            Tetapi oleh kerana kefahaman bahawa ‘cinta sebelum berkahwin itu haram’, melekat kemas dalam peribadi manusia-manusia ‘soleh&solehah’ hari ini, hingga kala pertunangan pun, disempitkan cinta sesempit-sempitnya.

            Telefon tidak boleh. Walaupun bukan untuk bermadu asmara. Untuk urusan yang penting!

            Berjumpa tidak boleh. Walaupun dengan ditemani Ibu Bapa!

            Sebab itu kadangkala, dengan manusia sebegini, pertunangannya bergoncang, dan ada yang sehingga putus. Mereka tidak memahami betapa Islam itu turun untuk manusia, bukan para malaikatNya yang sempurna.

            Manusia ada hati dan perasaan. Ada jiwa. Dia akan mudah diganggu. Jadi mengapa jika ada urusan penting, seperti urusan-urusan yang menghala ke arah perkahwinan, atau bila ada salah faham yang berlaku, kita tidak boleh selesaikan dengan telefon?

            Saya pernah bertemu dengan seorang lelaki, yang ingin mengajak tunangnya untuk mengawalkan perkahwinan mereka. Lelaki itu, bersungguh-sungguh membeli hadiah, dan mengirimkan kepada tunangnya, bersama di dalamnnya wujud lamaran.

            Tetapi, perempuan itu menolak begitu sahaja, dalam keadaan tidak mahu berbincang dengan telefon. Dan akhirnya mereka bergaduh besar. Lelaki itu, telah berusaha bersungguh-sungguh, keluar duit dan sebagainya, untuk menghalalkan hubungan mereka agar boleh dinaikkan ke satu tahap lagi, namun tunangnya itu menolak mentah-mentah.

            Saya yang melihat perkara itu, bertanya kepada sahabat saya itu:

            “Apa sebab dia tolak mentah-mentah je macam itu?”
            “Dia kata, kalau orang dah kata tak nak, tak naklah.”
            “Telefonlah. Bincang elok-elok. Biar dia dengar suara kau.”
            “Dia tak mahu. Katanya, email sudah cukup. Email tak bernada la! Dia yang kata nak bercinta lepas kahwin, bila ajak kahwin, dia macam-macam hal pula.” Luah hati sahabat saya itu.

            Saya bersimpati dengannya. Begitulah kejumudan merosakkan hubungan antara dua manusia.

            Apa salahnya telefon atas perkara sepenting itu?

            Begitukah Islam ajar? Begitukah sekali ‘haramnya cinta sebelum kahwin’ hingga merosakkan hubungan pertunangan yang terbina? Bukannya lelaki itu buat benda yang tidak syar’ie.

            Kemudian dikatakan haram sekiranya ada perasaan rindu. Astaghfirullah. Rindu itu bukankah satu fitrah? Mengapa diharamkan? Pada saya, bila fitrah diharamkan, maka menjadilah Islam itu kelihatan seperti agama lain yang mengharamkan pelbagai fitrah insan. Islam ini, lahirnya mengawal. Maka mengapa mengharamkan rindu? Sepatutnya, ceritakanlah bagaimana rindu yang sepatutnya. Ceritakanlah bahawa rindu tidaklah boleh sehingga menganggu kehidupan dan menganggu ibadah. Begitulah.

            Ekstrimis Zina Hati ini, sehingga sampai satu tahap, tunang dengan tunang hendak keluar bersama, ditemani keluarga dari kedua-dua belah pihak (Ibu dan Ayah kedua-duanya), pun dikatakan satu zina hati. Sedangkan kehidupan ini diselit seribu satu dugaan. Mereka sudahlah tidak bercouple dan tidak sentiasa bersama. Mungkin ada pula antara manusia yang bertunang ini, belum benar-benar kenal satu sama lain. Justeru, apa salahnya keluar bersama dengan diiringi Ayah dan Ibu mereka? Di situlah peluang mereka benar-benar melihat dan memerhatikan pasangan mereka. Menambah keyakinan dan kekuatan perasaan yang mereka ada, pada pilihan yang mereka buat.

            Tetapi kita terus-terusan menyempitkan Islam sesempit-sempitnya. Seakan tiada ruang untuk fitrah manusia keluar melihat cahaya, untuk dipandu ke arah yang sebenarnya. Kita ini manusia, bukan para malaikat. Itu satu perkara penting yang perlu difahami. Islam itu turunnya buat kita yang manusia ini. Ini bukannya sama dengan hubungan bebas tanpa batas. Ini tidak sama sekali serupa dengan kelalaian dan kealpaan yang menggila, yang dibawa oleh cinta yang didefinisikan dunia. Sudah pelbagai batas wujud di dalam perkara ini, itupun masih mahu disempit-sempitkan lagi oleh Ekstrimis Zina Hati.

            Kerana itu, saya sentiasa berhajat untuk membetulkan dan memecahkan kejumudan ini.

            Definasi cinta yang sebenar. Kita perlu kembali kepada yang itu.

            Bukan masih terikat dengan fobia kita terhadap cinta versi dunia.
Alhamdulillah..inilah isi entri daripada penulis Dalilah. Saya betul-betul bersetuju dengan semua hujah katanya yang berserta dalil dalam Al-Quran. Buat para muda-mudi di luar sana, cinta sebelum nikah itu tidak salah dan tidak diharamkan tapi perlulah dipandu mengikut landasan dan syariat Islam :)

No comments:

Post a Comment