Wednesday, 1 January 2014

Zina Hati


Sambungan..
Namun apa yang popular dalam mengharamkan percintaan sebelum nikah adalah terma ‘Zina Hati’ sebagaimana yang saya ulang-ulangkan pada subtopik yang sebelum ini. Terma ini diambil daripada hadith Rasulullah SAW:

            “Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Mata itu zinanya pandangan, telinga itu zinanya mendengar, lidah itu zinanya ucapan, tangan itu zina melakukan kekerasan, kaki itu zinanya langkah, dan hati itu mengharap dan berkeinginan, dan mengiyakannya kemaluan atau mendustakannya.” Hadith Riwayat Muslim.

            Jadi, diangkat perihal ‘Zina Hati’. Zina hati ini biasanya ditafsirkan dengan perasaan dan gejolak bayangan di dalam hati, akan perkara-perkara yang busuk dan salah di sisi Islam. Contohnya, kita terlalu membayangkan orang yang kita cintai, terganggu ibadah kita kerana asyik mengingati Si Dia, terganggu pula urusan kehidupan kita dan sebagainya. Dan semestinya termasuk di dalamnya sekiranya kita membayangkan membuat perkara-perkara yang buruk dengan orang yang kita cintai itu.

            Namun terma Zina Hati ini akhirnya digunakan ke peringkat yang amat ekstrim.

            Hingga jatuh cinta adalah Zina Hati. Hingga teringat adalah Zina Hati. Hingga mempunyai perasaan cinta adalah Zina Hati. Seakan-akan, apa-apa sahaja lintasan perasaan, atau rasa cinta yang wujud sebelum perkahwinan adalah merupakan satu zina dan dosa. Daripada titik tolak ini, maka ibarat taufan yang menerjah, golongan ini mengharamkan itu dan ini, sekaligus menyempitkan makna cinta yang sebenar. Alasannya, hendak menutup lubang yang lebih besar.

            Pada saya ini adalah satu kesilapan yang tersangat fatal. Islam kelihatan sempit apabila dibawa sedemikian rupa.

            Telah saya jelaskan dalam isu Islam mengiktiraf cinta. Maka tadi jelas bahawa mempunyai perasaan cinta tidak haram. Mengingati orang yang kita cintai tidak haram. Rindu kepada orang yang kita cintai itu tidak haram. Tetapi mestilah tidak berlebihan. Perlulah kita berusaha mendisiplinkan diri, dan berusaha membina peribadi yang mapan jika benar-benar mahu perasaan itu dimanifestasikan dengan perkahwinan.

            Saya yakin, kita semua bersetuju ianya adalah haram, berdosa, sekiranya hingga menganggu ibadah dan kehidupan. Tetapi apakah perlu kita memadamkan terus perasaan cinta? Tidak.

Asy-Syahid Syed Qutb apabila mentafsirkan ayat 235 Surah Al-Baqarah yang saya nukilkan tadi, menyatakan dalam Tafsir Fi Zilalil Quran karangannya:

            “Dan Islam itu tidak menghancurkan kecenderungan fitrah, tetapi membajainya. Dan tidak menekan naluri kemanusiaan, tetapi mengawalnya.”

            Begitulah Asy-Syahid Syed Qutb mentafsirkan ayat tersebut, sebagai mengakui bahawa Islam tidak terus memadamkan perasaan cinta itu, tidak melarang cinta sebelum kahwin itu. Tetapi, dalam konteks ayat tadi yang membicarakan perihal eddah, perlulah pencinta menghormati waktu eddah tadi dengan tidak melamar perempuan itu kala eddahnya belum habis.

            Maka begitulah mereka yang mempunyai perasaan cinta sebelum kahwin. Perlulah menghormati batas-batas yang Islam telah tetapkan. Tidaklah boleh keluar bersama tanpa batasan, tidaklah boleh bercumbu-cumbuan, tidaklah boleh bermadu asmara baik di alam realiti atau di alam maya.

            Tetapi perasaan cinta itu perlulah digerakkan ke arah perkahwinan. Berusaha secara serius mempersiapkan diri. Berusaha menyegerakan perkahwinan dengan berusaha menyegerakan pemantapan peribadi. Berusaha mencapai mampu. Berusaha menggapai matang. Itulah dia bukti cinta. Ditolak oleh perasaan cinta sebelum berkahwin itu. Serius.

            Zina Hati tidak boleh dipakai untuk cinta yang sedemikian rupa.

            Zina Hati hakikatnya pada saya, hanya boleh dipakai untuk orang yang memang menaruh niat untuk berzina, mengharapkan nikmat bersetubuh di luar hukum syara’, dan mereka yang telah melalaikan kehidupan dan ibadah mereka kerana kemaruk dalam dunia percintaan yang entah ke mana.

            Tetapi untuk mereka yang punya perasaan cinta yang sebenar, serius untuk berkahwin, bergerak dengan bersungguh-sungguh ke arahnya, maka bagaimanakah kita boleh menakut-nakutkan mereka ini dengan terma Zina Hati ini?

            Nyata ini adalah satu perkara yang ekstrim, dan membunuh fitrah insani.
            Sekaligus mempalitkan kepada Islam wajah kejumudan yang menjadi fitnah kepada orang yang memerhati.

Penutup: Dari Menyalahkan Cinta, Mengapa Tidak Kita Membersihkannya?

Justeru, mengapa kita perlu terus berlari dalam bulatan, dan berputar dalam isu yang sama?

            Cinta sebelum kahwin haram. Cinta sebelum kahwin haram. Itu tidak menyelesaikan apa-apa pada saya. Yang mampu bertahan, ya mampu bertahan. Tetapi kita perlu tahu bahawa kita tidak hidup dalam komuniti malaikat. Berapa ramai yang mampu bertahan?

            Mengapa tidak kita membersihkan definisi cinta, dan mengajar manusia bagaimana mahu bercinta sebelum kahwin dengan betul. Bagaimanakah cinta sebelum kahwin yang sebenar. Di situlah kita sebenarnya telah memberikan keadilan kepada cinta, dan kepada manusia yang fitrahnya mahu mencintai dan dicintai.

            Saya yakin, itu akan membawa lebih ramai lagi ke atas jalan cinta yang bersih dan syar’ie, di samping membasmi kejumudan yang membawa kerosakan kepada hubungan, seperti yang saya nyatakan tadi.

            Saya sentiasa percaya bahawa cinta sebelum kahwin itu halal, dan ada.

            Dan batasnya adalah ianya mesti membawa ke syurga, dan apa-apa yang membawa ke neraka itu bukanlah cinta namanya.

p/s: Cinta yang sebenar itu adalah hendak bersama
ke syurga,
apa-apa yang melempar ke neraka, 
itu bukan cinta namanya.

Cinta itu Fitrah.... Rindu atau sebagainya yg perkatakan di atas itu... Pada saya betul la, yg penting kita bijak Mengawalnya dan jgn sampai tersasar dari landasan ! Wallahualam ^^

"TIGA perkataan bermakna yang paling di tunggu oleh setiap wanita..bukan "I LOVE YOU" tetapi "AKU TERIMA NIKAHNYA"..♥

No comments:

Post a Comment