Tuesday, 9 January 2018

Tips Elakkan Anak Asyik Melekat Dengan Gadget

Zaman sekarang ni terlalu ramai ibubapa yang sering menyediakan gadget untuk anak-anak mereka terutama sekali handphone atau tablet. Lebih menyedihkan lagi anak-anak ini didedahkan dengan gadget bermula seawal umur setahun lagi. Kanak-kanak yang masih kecil ini akan mudah belajar dan meniru apa yang diajar kepada mereka. Contoh jika kita sering mengajar mereka bercakap sudah tentu mereka akan cepat petah bercakap. Begitu jugalah halnya dengan gadget. Jika kita sering mendedahkan mereka dengan gadget setiap masa sudah tentulah mereka akan ketagih dengan gadget. Mereka langsung tidak boleh berenggang sama sekali dengan gadget.

Terdapat kajian yang menyatakan bahawa kanak-kanak yang sering terdedah dengan gadget dan sering bermain dengan gadget setiap masa berisiko tinggi untuk mendapat Autism. Autism ini merupakan gangguan pada perkembangan minda dan sosial kanak-kanak yang boleh dikesan sejak dari awal lagi. Jadi dalam entri saya kali ini saya mahu kongsikan beberapa tips agar anak kita tidak terlalu terdedah dan tidak asyik melekat dengan gadget termasuklah handphone, tablet, game dan sebagainya.



TIPS AGAR ANAK TIDAK ASYIK MELEKAT DENGAN GADGET

1. Dedahkan Anak Dengan Buku Dan Mainan Sejak Dari Awal Lagi

Seawal usia setahun lagi anak kita perlu didedahkan dengan buku dan mainan kerana barangan seperti ini akan membantu untuk merangsang minda mereka untuk belajar dan explore benda yang baru

2. Sering Membawa Anak Bermain Di Taman Permainan Atau Berjalan Di Luar Rumah

Apabila anak bermain di luar rumah dia akan dapat mengenal banyak benda baru yang tidak terdapat di dalam rumah serta anak juga akan belajar untuk bersosial dengan anak-anak lain. Membawa anak bermain pasir di tepi pantai juga sangat elok kerana aktiviti seperti ini akan merangsang minda anak untuk menerokai dunia baru di sekeliling mereka

3. Mengehadkan Anak Menonton Televisyen Hanya 2 Jam Sahaja Sehari 

Kurangkan anak terlalu kerap menonton televisyen kerana prinsipnya sama seperti gadget. Kadangkala terdapat ibubapa yang sibuk melakukan kerja di rumah jadi mereka akan beri anak mereka gadget atau menonton televisyen agar anak mereka senyap dan tidak cerewet. Jadi ini tidak sepatutnya berlaku kerana anak akan bergantung dengan televisyen sahaja atau gadget untuk mendapatkan hiburan dan sebagai alat permainan. Bukan tidak boleh langsung untuk anak menonton televisyen atau bermain dengan gadget tetapi ibubapa perlulah mengawal penggunaan gadget tersebut oleh anak

4. Dedahkan Anak Dengan Flash Card Untuk Merangsang Minda Mereka

Flash Card ini boleh didapati di kedai-kedai dan berikan kepada anak-anak. Pada masa yang sama ibubapa perlu mengajar mereka gambar dan perkataan menggunakan Flash Card tersebut agar minda mereka terangsang dan cepat belajar sesuatu benda yang baru. Mainan yang melibatkan huruf dan nombor juga sangat digalakkan untuk diberikan kepada anak-anak sebagai alat pembelajaran mereka

5. Dedahkan Anak Dengan Mainan Bunyi Huruf Dan Nombor

Sekarang banyak mainan bunyi huruf dan nombor dijual di kedai mainan untuk kanak-kanak. Ibubapa boleh membelikan mainan seperti ini untuk anak-anak mereka agar anak-anak dapat belajar untuk mengenal huruf dan nombor secara perlahan-lahan. Mereka juga akan dapat belajar mengenal bunyi haiwan dan muzik tertentu untuk mengembangkan lagi minda mereka

6. Ibubapa Sentiasa Mengisi Masa Lapang Dengan Anak

Ibubapa merupakan contoh terbaik untuk anak-anak jadi apabila ibubapa sering mengisi masa lapang dengan anak-anak seperti bermain bersama maka anak-anak pun tidak memerlukan gadget untuk bermain serta berhibur. Ibubapa juga tidak sepatutnya asyik menumpukan perhatian terhadap handphone sewaktu bermain bersama anak-anak

Sebagai kesimpulannya penggunaan pelbagai gadget ini bukanlah tidak boleh atau dilarang untuk anak-anak tetapi penggunaannya perlu dipantau oleh ibubapa. Semua 6 tips di atas sangat sesuai dan praktikal untuk dilakukan agar anak-anak kita tidak terlalu terdedah dan tidak asyik melekat serta bergantung dengan gadget. Jadi kepada semua ibubapa mainkanlah peranan anda masing-masing demi melakukan yang terbaik buat anak-anak kerana banyak juga kesan buruk yang boleh berlaku kepada anak-anak akibat penggunaan gadget dengan berlebihan. Oleh itu bertindaklah mulai sekarang para ibubapa semua agar tidak menyesal di kemudian hari. Selamat mencuba !


13 comments: